KUCHING: Kerajaan Sarawak sudah menyediakan bantuan keseluruhan bernilai RM5.3 bilion
menerusi Pakej Bantuan Khas Sarawakku Sayang (BKSS) 1.0 hingga BKSS 7.0.
Timbalan Ketua Menteri, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan berkata, pakej itu bertujuan meringankan bebanan yang dihadapi rakyat Sarawak termasuk golongan peniaga yang terjejas akibat pandemik Covid-19.
Di bawah pakej BKSS 1.0 hingga BKSS 7.0, Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Terminal Perindustrian dan Pembangunan Usahawan, melaksanakan lapan program bantuan kepada komuniti perniagaan, katanya pada sidang media di sini hari ini.
Awang Tengah yang juga Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Terminal Perindustrian dan Pembangunan Usahawan menegaskan, Kerajaan Sarawak memperuntukkan sebanyak RM100 juta untuk melaksanakan Skim Kredit Mikro Sarawak (SKMS) bagi usahawan B40, pengusaha mikro dan kecil di bawah pakej terbabit.
Sejumlah RM50 juta daripada peruntukan berkenaan sudah diterima oleh 1,463 permohonan yang diluluskan dan bakinya RM50 juta akan disalurkan secara berperingkat-peringkat, kata beliau dan menambah, jumlah permohonan yang diterima ialah 1,879.
Nilai permohonan yang diterima ialah RM69.32 juta, nilai permohonan yang diluluskan RM48 juta dan anggaran jumlah subsidi kadar faedah untuk 3.5 tahun ialah RM4.73 juta, katanya.
Skim itu menawarkan pinjaman sehingga RM50,000 dengan kadar faedah empat peratus berdasarkan baki bulanan berkurangan dan terbuka kepada semua usahawan Sarawak tanpa mengira latar belakang, kata Awang Tengah.
Setakat ini, tambahnya, kesemua 1,463 peminjam yang diluluskan di bawah SKMS sedang menikmati subsidi kadar faedah bagi tempoh tiga setengah tahun (3.5 tahun).
Bagi Skim Pinjaman Industri Kecil dan Sederhana (SPKIS) bagi PKS Bumiputera, beliau berkata, peruntukan tambahan RM20 juta akan disalurkan secara berperingkat-peringkat dan jumlah permohonan yang diluluskan 411.
Jumlah permohonan yang diterima bagi skim itu ialah 452 dengan nilai permohonan yang diterima RM33.14 juta dan nilai permohonan yang diluluskan RM30.13 juta dan anggaran jumlah subsidi kadar faedah untuk 3.5 tahun ialah RM0.54 juta, katanya.
SPIKS adalah inisiatif Kerajaan Sarawak bagi membantu PKS Bumiputera termasuk usahawan mikro untuk mengembangkan perniagaan mereka dari segi modal dan pembelian mesin serta peralatan dan ia menawarkan pinjaman sehingga RM250,000 dengan kadar faedah empat peratus berdasarkan baki berkurangan dan ia dilaksanakan oleh SEDC, tegas beliau.
Menurut Awang Tengah, bagi program Graduan Ke Arah Keusahawanan (GERAK), Kerajaan Sarawak menyediakan peruntukan tambahan sebanyak RM10 juta yang turut disalurkan secara berperingkat-peringkat.
Di bawah program Usahawan Teknikal dan Vokasional (USTEV), beliau berkata, sebanyak RM10 juta peruntukan tambahan disediakan dengan jumlah permohonan yang diterima 596.
Di bawah program GERAK dan USTEV itu, katanya, seramai 652 graduan dan belia berkemahiran teknikal layak untuk mendapat geran bernilai hingga RM20,000 untuk memula dan mengembangkan perniagaan mereka.
Awang Tengah menambah kata, di bawah Tabung Bantuan Khas (SRF), sebanyak RM606.91 juta pinjaman SRF diluluskan di bawah skim Subdisi Kadar Faedah kepada 1,915 permohonan yang diluluskan.
Manakala, di bawah program Sasaran Bantuan dan Kemudahan Pemulihan (TRRF), beliau berkata, sejumlah RM299 juta pinjaman TRRF di bawah skim Subsidi Kadar Faedah kepada 2,035 permohonan yang diterima.
Di bawah program Pembiayaan Pelancongan Penjana (PTF), beliau berkata, jumlah permohonan yang diterima ialah 815 dan jumlah subsidi kadar faedah dianggarkan RM1.96 juta.
Beliau berkata, jumlah kadar sewa yang dimansuhkan bagi kilang untuk selama enam bulan ialah RM123,750 untuk 14 SME dan 15 unit RBF.
Selain daripada bantuan kewangan yang dilaksanakan melalui kementerian beliau, agensi-agensi lain juga ada melaksanakan bantuan khas bernilai RM10,000 (one-off) bagi PKS Sarawak yang berdaftar di Sarawak dengan SOCSO dan bantuan itu adalah ihsan daripada Kerajaan Negeri Sarawak.
Kerajaan Sarawak, tambahnya, selain daripada bantuan kewangan itu juga menyediakan diskaun sehingga maksimum 25 peratus untuk bil air dan elektrik, diskaun sehingga 30 peratus untuk cukai pintu dan diskaun 30 peratus untuk cukai tanah bagi meringgankan beban rakyat termasuk golongan usahawan dan semua bantuan itu masih dalam pelaksanaan sehingga Disember 2021.
Sumber dari : Jiwa Bakti